Agar
Bidadari Cemburu Padamu
Salim A. Fillah
RM 25.50
Pro-U Media
Agar Bidadari Cemburu Padamu merupakan buku untuk para wanita yang inginkan
kenikmatan syurga dalam setiap saat kehidupannya. Buku ini juga sesuai untuk
para lelaki dalam mendalami bagaimana memperlakukan wanita dengan keadilan
syariat Allah.
Agar Bidadari Cemburu Padamu dibahagikan kepada empat bahagian. Bahagian
pertama mengandungi dua bab yang berkisar tentang penciptaan wanita dan
persamaan taraf wanita dan lelaki di sisi Allah. Bahagian kedua pula berdiskusi
tentang keterbatasan aurat para muslimah dengan mengenengahkan syarat-syarat
pakaian muslimah. Cinta dan wanita sememangnya amat menarik untuk
dibahaskan,dan justeru itu,penulis memuatkan bab-bab seterusnya dengan apakah cinta,
nilai-nilai cinta bersamaan Allah dan kelas-kelas cinta. Sebagai penutupnya,
penulis mengutarakan kisah-kisah para isteri salafussoleh dalam menjana baitul
muslim berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.
Di dalam bab pertama ini, penulis cuba mem bawa minda para pembaca tentang
kasih sayang(Ar-Rahman dan Ar-Rahim) Ilahi kepada hambaNya. Sesungguhnya,
nikmat Islam itu merupakan nikmat yang paling berharga yang dikurniakan kepada
makhlukNya, yang mana dengan pentarbiahan Dinul Islam,manusia mampu untuk mengecapi
keindahan alam semesta dan mampu bersyukur di atas kurniaNya. Sepertimana
firman Allah:
Dialah yang menurunkan ayat-ayat yang terang(al-Quran) kepada
hambaNya(Muhammad) untuk mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya.Dan
sungguh, terhadap kamu Allah Maha Penyantun, Maha Penyayang. (Al-Hadid:9)
Namun,bukan semua makluk yang diciptakan Allah mensyukuri nikmatNya.Ada yang
tenggelam di dalam lautan nikmat Ilahi, tanpa sedikit pun terbitnya rasa
kesyukuran. Namun sebaliknya, amatlah beruntung bagi mereka yang
berfikir,meneliti dan memerhati ciptaan Allah lalu lahirlah ke’izzahan terhadap
Islam.
Begitu juga dengan penciptaan wanita.Bukannya kewujudan wanita hanya untuk
menemani kesunyian kaum Adam,bukannya untuk diperkotak-katikkan oleh kaum
lelaki,bukannya untuk ditanam hidup-hidup dan wanita juga bukan barangan untuk
diperdagangkan.Namun,wanita itu diciptakan dengan sebaik-baik penciptaan untuk
kebersamaan kaum lelaki dalam beribadah kepadaNya. Rasulullah saw bersabda:
“Selalu wasiatkan kebaikan kepada para wanita.Karena mereka diciptakan dari
tulang rusuk, dan bagian yang paling bengkok dari jalinan tulang rusuk ialah
tulang rusuk bagian atas. Jika kalian paksa diri untuk meluruskannya, ia akan
patah. Tetapi jika kalian mendiamkan diri, ia akan tetap bengkok. Karena itu,
wasiatkan kebaikan kepada para wanita (HR Al-bukhari dan Abu Hurairah)
Jika pada zaman jahiliyah merupakan zaman yang paling ngeri bagi kaum
wanita,namun, dengan terbitnya sinar Islam, martabat wanita diangkat menjadi
mulia.Tanpa nilai diskriminasi,tanpa pembunuhan hidup-hidup dan tanpa
penyeksaan zahir mahupun batin.Melalui hadis tadi,Islam mengangkat wanita dari
ranjang kegelapan menuju alam keangunganNya.Di sinilah,peranan wanita
digandingkan dengan lelaki dalam berdiskusi,saling mengingatkan, saling memberi
wasiat tentang kebenaran, kesabaran dan kasih sayang.Wanita dan lelaki saling
bergandingan tangan dalam menjalankan amanah Allah ,menikmati kehidupan yang
lebih sempurna dan mendapatkan ganjaran yang lebih baik terhadap apa yang
mereka kerjakan.Firman Allah fi kitabihi Al-Aziz:
Baragsiapa mengerjakan kebaikan, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan
beriman, maka pasti akan Kami berikan kehidupan yang baik… (An-Nahl:97)
Betapa Ar-Rahman dan Ar-Rahimnya Allah, kepada kaum wanita,setelah penurunan
wahyu-wahyu Ilahiah,maka martabat diri wanita dipandang tinggi.Namun,
segelintir wanita merasa marah jika selalu diposisikan sebagai makhluk yang
sentiasa dikasihani.Insya Allah,dalam bab kedua, penulis membahaskan kekuatan
dan kegagahan wanita berlandaskan syariat Allah.
Di dalam bab yang kedua ini, kita akan lebih berhusnuZhun pada Allah dengan
merenung ayat-ayatNya yang membela kedudukan kaum hawa dari tohmahan kuffar
yang mengatakan Islam menindas hak-hak kebebasan wanita.Sehubungan dengan itu,
penulis cuba menggunakan pendekatan dalil-dalil naqli dalam menerangkan tentang
kepimpinan wanita,soal warisan dan akal serta agama yang mana membuktikan Allah
tidak sesekali mendiskriminasikan hambaNya,lelaki dan perempuan.
Bila menyentuh soal kepimpinan,sememangnya kita sedia maklum bahawasanya Allah
berfirman:
Kaum lelaki adalah qawwam atas kaum perempuan…(An-Nisa’:34)
Sebenarnya kalimah qawwam atau kepimpinan mengikut Al-Qardhawi dalam Fatawi
Mu’ashirah berhubung kait dengan kepimpinan dalam kekeluargaan.Lelaki atau
suami sebagai ketua keluarga dan isteri sebagai pembantunya.Tetapi, Islam bukan
hanya mengehadkan wanita untuk berada dalam kepungan keluarganya, malahan Islam
membenarkan wanita untuk menguasai bidang ijtihad, pendidikan dan pembelajaran,
ilmu hadith dan pentadbiran.Contohnya, ummahatul mukminin,’Aisyah Binti Abu
Bakar telah mengetuai Waqa’atul Jamal yang didampingi oleh Thalhah dan
Az-Zubair.Sesungguhnya,dalam posisi kepimpinan masing-masing,Allah telah
meletakkan keindahan, yang mana lelaki dan wanita bukan musuh yang saling
merendahkan prestasi diri tetapi mereka adalah dua jiwa yang saling melengkapi
antara satu sama lain.
Sesungguhnya wanita adalah belahan tak terpisah dari lelaki (HR Ahmad dan
Al-Baihaqi)
Di dalam soal akal dan agama, sememangnya wanita mempunyai nuqshan(kekurangan)
jika dibandingkan dengan kaum lelaki.Tetapi,jangan tersilap andaian, kekurangan
yang dimaksudkan ini adalah kekurangan dari segi kuantiti, bukannya dari segi
kualiti.Jika direnung kembali,wanita sememangnya kurang dalam kuantiti
ibadahnya lantaran kedatangan haid,seperti solat dan puasa.Manusia diciptakan
serba kekurangan jika dibandingkan dengan Maha Kuasa
Allah.Sesungguhnya,kekurangan akal dan agama pada wanita bukanlah sesuatu yang
ghaib dan memalukannya,tetapi Allah gantikan kekurangan itu dengan kelembutan,
penyayang, dan sifat keibuan.Sebagaimana lelaki,walaupun mereka hebat dengan
akal dan agamanya, tetapi,mereka memiliki kekurangan kepekaan dan kehalusan
perasaan.Dan ini memang membuktikan wanita dan lelaki adalah pelengkap antara
satu sama lain.
Wanita diibaratkan seperti misykat (tempat letak pelita) iaitu cantik berkilau
bila diletakkan di tempat yang tersembunyi,bersudut dan membatasi serakan
cahayanya.Begitulah perumpaan wanita yang solehah. Rela diri dibaluti oleh
helaian kain yang tebal demi menjaga aurat dan mahkota kewanitaannya.Di sini,
penulis mengutarakan ciri-ciri pakaian muslimah yang digariskan oleh al-quran
dan as-sunnah,iaitu: 1)menutup dan melindungi seluruh tubuh, selain yang
dikecualikan, 2)bukan tabarujj(menunjuk-nunjuk) 3)kainnya tebal 4)kainnya
tebal,tidak sempit 5)tiada haruman pewangi 6)tidak menyerupai pakaian lelaki
7)tidak menyamai pakaian orang kafir, dan 8)bukan merupakan libasyuh syuhrah(
pakaian populariti). Inilah tatacara yang Allah tetapkan untuk para wanita agar
terpelihara auratnya dari pandangan lelaki ajnabi,kecuali pada suami dan
anak-anaknya.Lihatlah betapa sayangnya Allah pada kaum Hawa sehinggakan perkara
aurat dan keterbatasan ini menjadi pokok persoalan dalam beragama supaya wanita
muslimah tetap mempesona dan anggun dalam penampilannya tanpa perlu mendedahkan
kehalusan dan keindahan badannya.
Di dalam bab yang seterusnya,penulis berbicara dengan panjang lebarnya tentang
penghayatan cinta terhadap sesama manusia dan yang pastinya cinta wanita
terhadap lelaki.Mencintai dan dicintai merupakan lumrah kehidupan jiwa yang
bernama manusia.Sesungguhnya, cinta para wanita solehah bukan pada
hartanya,bukan pada ketampanannya, bukan pada kebangsawanannya tetapi, cinta
mukminah solehah adalah terhadap akhlaq dan budi pekerti sang jejaka.Allah
telah menukilkan kisah cinta puteri Nabi Syu’ib di dalam Al-Quran yang
berfirman
Salah seorang dari kedua puteri itu berkata, “Wahai ayahanda, ambillah ia
sebagai orang yang bekerja untuk kita. Kerana sesungguhnya orang yang paling
baik ayah ambil untuk bekerja ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai.
(Al-Qashash:26)
Daripada ayat di atas, kita sedia maklum bahawasnya puteri Syui’b tertarik
dengan kerajinan dan amanah yang ditunjukkan oleh Musa as,tetapi dengan segala
sifat malunya,kesukaan itu dilontarkan dalam bentuk yang tersirat iaitu
bercadang untuk dijadikan Musa sebagai pekerja.Lihatlah disekeliling kita,
betapa jauhnya nilai masyarakat hari ini dalam memahami pengajaran dari
Al-Quran dan As-Sunnah.Anak-anak muda tanpa segan silu menjual maruah diri
untuk mencapai nikmat sebuah percintaan.Na’uzubillah.Namun begitu,mencintai dan
dicintai tidak sesekali terlarang oleh agama.Malah, di dalam Al-Quran telah diberitakan
tentang sifat kecintaan manusia sesama manusia di dalam surah Ali ‘Imran ayat
14
Dijadikan indah bagi manusia kecintaan terhadap apa-apa yang diingini syahwat
dari wanita-wanita, anak-anak dan harta yang banyak dari jenis emas,perak, kuda
pilihan, ternak dan sawah ladang…( Ali ‘Imran : 14)
Kenapa Islam tidak melarang penganutnya untuk bercinta?sedangkan, dunia hari
ini membuktikan cinta adalah virus pemusnah dalam kehidupan anak-anak
remaja,pemusnah jiwa yang merdeka,pengacau keaktivisme seorang akhawat, dan
yang paling syadid adalah cinta membawa maut.Sesungguhnya, cinta adalah suci
dan ikhlas, namun, bila cinta kebersamaan syaitan, syahwat dan syubhat, maka
cinta merupakan penyakit dan pemusnah jiwa manusia.Firman Allah
Dan hendaklah menjaga kesucian dirinya, orang-orang yang belum mampu menikah,
hingga Allah mengayakan mereka dari kurniaNya…(An-Nur:33)
Cinta bukan hanya terbatas kepada cinta sesame manusia, tapi, makna cinta
merangkumi cinta kepada Allah, Rasulullah, Hari akhirat dan jihad fi sabillah.Bagi
seorang insan, bagaimana untuk menyatakan rasa kecintaan terhadap Pencintanya
telah pun digariskan dalam Islam:
Katakan hai Muhammad: jika adalah kalian mencintai Allah, maka ikutilah aku.
Maka Allah akan mencintai kalian dan ia ampuni segala dosa kalian….(Ali
Imran:31)
Jadi, ambillah pengajaran daripada Al-Quran dan As-Sunnah dalam menitipkan rasa
cinta terhadap Azza Wa Jalla.Selami kehidupan para rasul dan ummahatul mukminin
dalam ketaatannya kepada Rabb.
Bahagian yang terakhir dalam buku ini membicarakan tentang pernikahan dan
bagaimana pernikahan dijadikan platform untuk menggarap syurga Firdaus.Sebelum
menjadi milik seorang lelaki yang bernama suami,seseorang wanita itu perlulah
menimbang tara beberapa criteria diri seperti mengukur kualiti diri
sendiri,mempersiapkan kualiti diri, berserius dalam ta’aruf dan melakukan ujian
kualiti diri seperti bertanyakan kepada calon suami apakah motivasinya daripada
perkahwinan nanti.
Bab yang terakhir ini pula hanya menyentuh tentang keangungan perempuan di sisi
suami, di tengah keluarga dan masyarakat.Di sinilah kita didedahkan dengan
kesetian Nailah AlFarafisyah yang berkahwin dengan Saidina Utsman bin Affan
ketika berumur 18 tahun dan Saidina Utsman berumur 81 tahun,kecerdasan akal dan
kemanjaan ‘Aisyah, kelembutan dan ketabahan Saidina Khadijah, dan ketaatan
isteri para syuhada dalam menegakkan kebenaran seperti Ummu Usamah, isteri
Hassan Al-Hudaibi, dan Aminah Quthb, isteri Kamal Asy Syananiri.
Sebagai kesimpulannya, Agar Bidadari Cemburu Padamu ingin mengajak kita
menghayati erti kesalihan dan makna keimanan sebagaimana Allah dan Rasulnya
kehendaki.Tambahan pula, buku ini mampu memberikan motivasi dan semangat serta
petunjuk dalam menjalani kehidupan kebersamaan Allah.Moga buku ini mampu menjadi
sumbu dalam membakar jiwa-jiwa syurga untuk mengolah potensi menjadi gerak
kerja ‘amal kesalihan, perbaikan diri dari hari ke hari.Kemudian, kalau ada
bidadari yang cemburu pada kita atas keshalihan demi keshalihan yang kita
capai, maka biarlah dia cemburu.Biarlah itu menjadi risiko menempuhi jalan
kebenaran, kesucian, dan kemuliaan yang telah kita azzamkan.
Wahai jiwa yang tenang, kembalilah pada Rabbmu dengan hati yang puas lagi
diredhai, maka masuklah ke dalam jannahKu…(AlFajr :27-30)
ingin sekali membaca bukunya ^_^
BalasHapuswah kebetulan saya juga memiliki buku ini. tidak salah kata anda, buku ini tidak hanya untuk wanita walaupun judulnya agar bidadari cemburu padamu. buku ini juga untuk laki-laki agar lebih mengenal bagaimana wanita dan rasulullah shalallahu alaihi wasalam memposisikan wanita di tengah masyarakat.
BalasHapusjangan lupa berkunjung balik, https://pencaricerah.xyz, untuk diskusi buku yang pernah dibaca. siapa tau kita membaca buku yang sama lagi